The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

Reviu Perlawanan ke-20 Liga Super 2025/26 | Selangor FC 4-0 Imigresen FC | Bangga Pemain Bangkit

Mar 09, 2026 - FAS

Selangor FC mencatat kemenangan 4-0 ke atas Imigresen FC dalam aksi Liga Super 2025/26 minggu ke-20 yang berlangsung di Stadium MBPJ, Kelana Jaya semalam.

Pasukan berjaya menguasai perlawanan sejak awal dan berjaya membuka jaringan pada minit ke-28 menerusi Chrigor Moraes yang menyempurnakan hantaran Faisal Halim dengan tenang. Skuad Gergasi Merah kemudian menggandakan kelebihan menjelang tamat separuh masa pertama apabila Zikri Khalili menjaringkan gol pada masa kecederaan hasil bantuan Alvin Fortes, sekaligus memberi kelebihan 2-0 ketika rehat.

Perlawanan terus memihak kepada pasukan apabila Chrigor Moraes meledak gol kedua peribadinya pada minit ke-79 selepas menerima hantaran baik Alvin Fortes. Pemain gantian, Vitor Pernambuco melengkapkan kemenangan bergaya pada masa kecederaan dengan menyudahkan hantaran Faisal Halim bagi memastikan kemenangan 4-0 buat Gergasi Merah.

Menurut Kim Pan-gon, Ketua Jurulatih Selangor FC, beliau bangga dengan kebangkitan yang ditunjukkan oleh para pemain selepas perlawanan sebelum ini.

“Pertama sekali, saya bangga dengan para pemain. Kita tidak berada pada prestasi terbaik dalam perlawanan yang lalu. Mereka menunjukkan reaksi yang sangat baik dalam latihan minggu ini dan menunjukkan kebangkitan. Jika kita mahu menjadi pasukan yang lebih baik, kita perlu terus memperbaiki beberapa aspek. Kadang-kadang kita tidak mencipta banyak peluang, tetapi apabila peluang itu datang, kita perlu lebih tajam untuk menyudahkannya,” tegas Kim Pan-gon.

Saya sebenarnya amat bertuah kerana mendapat sokongan penuh daripada para pemain dan kelab. Persaingan yang tinggi akan membantu kita menjadi lebih kuat. Langkah demi langkah kita cuba membina pasukan ini dan membentuk kekuatan tersendiri. Proses ini akan terus memberi motivasi kepada para pemain serta meningkatkan keyakinan pasukan. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada para penyokong atas sokongan berterusan mereka,” tambah beliau.

Minggu ini, Selangor FC akan menentang Kuala Lumpur City FC di Stadium Cheras, Kuala Lumpur pada 15 Mac dalam perlawanan ke-21 Liga Super 2025/26. Perlawanan tersebut dijadualkan berlangsung pada jam 10 malam menjelang sambutan Hari Raya.

Bagi para penyokong yang tidak dapat hadir ke stadium, anda dijemput untuk menyertai Watch Party, tayangan langsung anjuran kelab di Suasana Market Hall bermula jam 9 malam.

Pihak Pengurusan Selangor FC juga mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada para penyokong yang setia menyokong pasukan di Stadium MBPJ, Kelana Jaya semalam. 

Demi Kebanggaan!

Kesebelasan Utama: Kalamullah Al-Hafiz, Quentin Cheng, Nooa Laine, Faisal Halim ©, Noor Al Rawabdeh, Hugo Boumous, Alvin Fortes, Zikri Khalili, Safuwan Baharudin, Mamadou Diarra & Chrigor Moraes.

Pertukaran: 62’ Hugo Boumous > Vitor Pernambuco, 72’ Syahir Bashah > Noor Al Rawabdeh, 72’ Harith Haiqal > Safuwan Baharudin, 72’ Mohammad Abualnadi > Quentin Cheng, 82’ Kim Ji-ho > Chrigor Moraes